Kaedah Mengajar
Murid-murid Membaca di Peringkat Awal
Masalah murid-murid
sekolah tidak dapat membaca, atau tidak dapat membaca dengan cekap, sebenarnya
telah lama dirasakan oleh guru-guru. Hanya sejak beberapa tahun kebelakangan
ini saja hal tersebut diberi perhatian yang lain, dan daripada beberapa kajian
yang dibuat nampaknya masalah ini masih agak serius.
Sudah wajarlah masalah
pembelajaran membaca (termasuk menulis dan mengira) diberi perhatian oleh semua
pihak : Kementerian Pelajaran, guru-guru, dan ibu bapa, kerana di dalam sistem
pelajaran formal, ketiga-tiga kemahiran itu menjadi alat yang asas untuk
kanak-kanak mempelajari Ilmu Sains, Ilmu Alam, Sejarah, Kesusasteraan, Sivik,
Muzik, Perdagangan, Pertanian, Seni Perusahaan, mata pelajaran Teknikal, Agama
serta pengetahuan dan kemahiran lain.
Kemahiran 3M adalah
‘alat’ asas untuk seseorang meneroka ilmu, mencipta, dan membuat komunikasi.
Dalam konteks dunia hari ini, kecekapan dalam menguasai 3M amat diperlukan,
lebih-lebih lagi untuk urusan kehidupan sehari-hari. Maksudnya, definisi had
minimum dalam kemahiran membaca setakat ‘mengenal huruf’ sudah tidak memadai
lagi. Taraf minimum yang harus dianggap sebagai ‘functionally literate’ di
Malaysia hari ini harus didasarkan pada keupayaan seseorang itu membaca dan
memahami tulisan di dalam suratkhabar, dan menulis surat-surat urusan harian
sendiri. Taraf pencapaian minimum inilah yang harus dapat dicapai oleh 90%
daripada murid-murid sekolah apabila mereka sampai ke Tingkatan 3.
Untuk mencapai taraf
kemahiran ini, asas-asas yang kukuh perlu dibina secara progresif dari awal.
Barangkali bagi 90% daripada kanak-kanak dalam negara kita, mula mengenal huruf
hanya apabila mereka menjejakkan kaki di bangku sekolah. Kebanyakan kita juga
mula belajar membaca apabila kita bersekolah. Hal ini sengaja ditekankan kerana
sudah diterima sebagai ‘biasa’ bahawa di antara tugas utama guru-guru di
sekolah dasar ialah mengajar kanak-kanak supaya dapat membaca dan menulis.
Jika ini belum dicapai,
apa pun sebab-sebab yang mungkin diberikan, tugas guru belum dikira sempurna.
Masyarakat kita sentiasa mengharapkan sistem persekolahan kita memberikan
kecekapan membaca, menulis dan mengira kepada anak-anak, dan jika ramai yang
tidak mendapat kemahiran tersebut, maka sistem persekolahan itu dianggap gagal,
dan harus dikaji semula serta dipulihkan.
Walau bagaimanapun
tidaklah dicadangkan apa-apa pemulihan yang besar di dalam sistem pelajaran
kita, hanya sekadar untuk meninjau beberapa kaedah mengajar di peringkat awal :
(beberapa definisi dan andaian asas)
a) Peringkat permulaan
membaca di sini ditafsirkan sebagai peringkat permulaan membaca yang dihadapi
oleh sebahagian besar murid-murid Darjah 1, di sekolah-sekolah dasar kita;
b) Kebanyakan daripada
murid-murid ini adalah ‘normal’ dari segi keupayaan atau kebolehan mereka
belajar;
c) Murid-murid ini telah
pun mempunyai kemahiran bahasa Melayu lisan (walaupun mungkin dalam bentuk
dialek), menguasai perbendaharaan kata yang ‘mencukupi’ akibat daripada lahir
di dalam keluarga Melayu, atau bercampur-gaul dengan orang-orang Melayu. Dengan
kata lain mereka belajar membaca bahasa Melayu sebagai bahasa pertama
KAEDAH PENGAJARAN YANG BIASA DIBUAT.
Kaedah abjad
Kaedah Abjad bolehlah dianggap sebagai kaedah mengenal nama-nama
huruf yang digunakan dalam tulisan Melayu; a,b,c…hingga z. Murid-murid diajar
menghafal nama-nama huruf ini mengikut aturannya a,b,c,…z. kadang-kadang ada
nyanyian yang menggunakan huruf-huruf sebagai liriknya. Setelah beberapa minggu
barulah disebutkan huruf-huruf vokal: a,e,i,o,u. Selepas itu dibina suku-suku
kata “ba – tu”, “ka – ki” dan sebagainya, dan diikuti pula dengan mengeja
perkataan-perkataan. Kemudian barulah diberi latihan membaca ayat-ayat yang
pendek.
Murid-murid hanya mengambil masa tiga hingga empat bulan, atau
lebih untuk mengetahui nama-nama huruf hingga tahu membaca ayat-ayat .Kaedah
abjad yang begini hanyalah menegaskan hafalan-hafalan yang agak kurang bermakna
bagi kanak-kanak. Memulakan pengajaran membaca dengan menegaskan pengenalan dan
hafalan nama-nama huruf, sebenarnya menegaskan sesuatu yang boleh membosankan
murid-murid. Saya kira kaedah ini mengambil masa yang agak panjang sebelum
murid-murid itu dapat merasa gembira atau puas.
Kaedah ‘Pandang dan Sebut’ (look and say)
Kaedah Pandang dan Sebut ini atau juga pernah disebut dengan nama
Kaedah Seluruh Perkataan (whole word) ini bolehlah dianggap sebagai reaksi
kepada kelemahan-kelemahan yang terdapat pada Kaedah Abjad. Kaedah itu lebih
bermakna daripada Kaedah Menghafal ‘nama setiap huruf itu’. Misalnya batu,
rumah, sekolah, budak, pokok, meja, pensel dan sebagainya. Perkataan-perkataan
yang ditulis penuh adalah difikirkan lebih bermakna daripada pecahan tiap-tiap
hurufnya. Jadi Kaedah Pandang dan Sebut (atau Kaedah Seluruh Ayat) ini
dijadikan asas untuk mengajar murid-murid membaca. Kerap kali ditunjukkan
seluruh perkataan-perkataan seiring dengan gambar-gambar yang dilambangkannya.
Perkataan rumah ditulis di tepi atau di bawah gambar rumah, perkataan pensel,
dan sebagainya. Kadang-kadang digunakan kad-kad imbasan yang menunjukkan gambar
dan perkataan.
Jadi dalam kaedah ini murid-murid cuba ‘mengenal’ keseluruhan
lambang-lambang itu untuk mendapat membaca. Mereka harus mengenal beberapa
puluh ‘lambang perkataan’ sebelum boleh membaca ayat-ayat. Kemudian baru diajar
mengeja tiap-tiap perkataan, dan mengenal nama huruf-huruf yang mewakilinya.
Pada ketika dahulu (bahkan bagi setengah-setengah ahli pendidik
sekarang pun) kaedah Pandang dan Sebut ini sangat ditegaskan. Mereka kuat
dipengaruhi oleh ahli-ahli pendidik mengajar membaca bahasa Inggeris. Di
sebalik menggunakan kaedah ini untuk mengajar, bahasa Inggeris ialah bahasa
yang tidak mempunyai sistem ejaan fonemik yang sempurna, bercelaru dari segi
symbol-sound relationship. Kecelaruan ini menyebabkan ahli-ahli pendidik bahasa
menganggap kaedah Pandang dan Sebut itu lebih sesuai dan bermakna untuk
mengajar permulaan membaca. Tetapi, sejak beberapa tahun kebelakangan ini
kaedah ini dikritik semula, sebab didapati ramai murid biasa (terutama di
Amerika Syarikat) yang tidak boleh membaca.
Kemahiran murid-murid ‘mengenal’ perkataan-perkataan tidak
dapat menjelma dengan cepat. Bahkan ramai yang menghafal ‘perkataan-perkataan’
berdasarkan gambar daripada ‘mengenal’ perkataan-perkataan, dan murid-murid ini
sukar mengenal perkataan-perkataan yang ‘baru’. Jadi, baru-baru ini timbul
semula hujah-hujah dan kajian-kajian yang membuktikan bahawa kaedah fonik
mungkin lebih sesuai dan berkesan daripada kaedah Pandang dan Sebut untuk
mengajar permulaan membaca bahasa Inggaris.
Kaedah Pandang dan Sebut ini lebih sesuai digunakan untuk mengajar
bahasa-bahasa yang memakai sistem tulisan ideografik (atau lebih tepat lagi
logografik) seperti sistem ejaan bahasa Cina, yang melambangkan sesuatu benda,
idea, dan sebagainya (satu morfem) dengan satu perkataan.
Oleh sebab sistem ejaan bahasa Melayu rata-rata adalah fonemik
(satu huruf boleh dikatakan melambang satu ‘bunyi’ – lebih fonemik daripada
misalnya sistem ejaan bahasa Inggeris) maka agak tidak begitu munasabah bagi
Kaedah Pandang dan Sebut ini digunakan untuk mengajar permulaan membaca bahasa
Melayu, terutama mengajar murid-murid Melayu. Kaedah ini akan menyusahkan dan
melambatkan lagi murid-murid mencapai kemahiran membaca bahasa Melayu.
Kaedah Fonik
Pada asasnya kaedah ini adalah untuk mengajar murid-murid melihat
hubungan di antara simbol (huruf) dan ‘bunyi’ (grapheme phoneme relationship)
supaya kemudian mereka dapat membaca (membunyikan) perkataan-perkataan baru
yang mereka hadapi.
Murid-murid tidak diajar nama-nama huruf, diajar ‘bunyi-bunyi’
huruf. Ertinya lambing huruf terus dikaitkan dengan bunyinya. Misalnya ‘a’
dibunyikan ‘aa…’, ‘t’ – ‘tah’, ‘s’ –‘ss’. ‘u’ – ‘uu…’, ‘z’ – ‘zz…’, dan
sebagainya. Setelah mereka tahu hubungan tiap-tiap huruf dengan bunyinya, suku
kata pula dibina. Misalnya, ‘ba’, ‘da’, ‘tu’, ‘ka’, ‘lu’, ‘mi’ dan sebagainya.
Kemudian baru digabungkan suku-suku kata ini menjadi perkataan-perkataan –
‘dada’, ‘batu’, ‘kata’, ‘lalu’, dan sebagainya. Seterusnya murid-murid diberi
latihan membaca ayat-ayat yang menggunakan perkataan-perkataan ini.
Nyata sekali, oleh sebab sistem ejaan bahasa Melayu kita adalah
fonemik, (iaitu ada hubungan yang agak teratur di antara ‘huruf’ dan
‘bunyinya’), dan oleh sebab suku kata kebanyakan perkataan Melayu agak jelas,
maka kaedah fonik ini sesuai sekali digunakan untuk mengajar permulaan membaca
perkataan-perkataan Melayu. Sekurang-kurangnya kaedah ini adalah lebih
munasabah dan mungkin lebih berkesan dibandingkan dengan Kaedah Abjad dan
Kaedah Pandang dan Sebut.
Kelemahannya ialah kaedah ini masih memerlukan murid-murid
menghafal bunyi huruf yang kurang bermakna pada permulaannya. Dan biasanya masa
yang agak panjang diambil untuk mereka mengenal semua bunyi huruf dan suku kata
sebelum mereka membaca perkataan-perkataan dan ayat-ayat yang bermakna.
Kaedah Eklektik
Kaedah ini adalah kaedah Campuran – campuran kaedah-kaedah
mengikut kesesuaian murid, situasi bilik darjah dan bahan-bahan bacaan yang
digunakan. Ada yang menggunakan penujuan sintetik, ada penujuan analitik dan
ada pula penujuan sintetik-analitik.
Terdapat pelbagai lagi jenis Kaedah Eklektik ini. Bagi bahasa
Melayu, kesan yang didapati apabila seseorang menyebutkan Kaedah Eklektik ini,
ialah seolah-olah mereka memikirkan Kaedah ini adalah yang paling sesuai untuk
mengajar membaca bagi kanak-kanak Melayu kita.
Kemudian jika diperhatikan betul-betul cara Kaedah ini diterapkan,
agak banyak yang mengajar kurang sistematik. Jadi kerap kali Kaedah ini menjadi
akedah cacamurba, kerana asas gabungan itu kurang diperhatikan.
Apa yang harus difikirkan dan diciptakan ialah kaedah mengajar
‘eklektik’ tetapi sistematik, yang mengambil perhatian keistimewaan sifat-sifat
ejaan bahasa Melayu, struktur suku-katanya, dan tatabahasanya di suatu pihak,
dan keadaan pembelajaran murid-murid Melayu di pihak lain. Maksudnya kita harus
menciptakan Kaedah Eklektik yang sesuai untuk mengajar membaca bahasa Melayu
sebagai bahasa pertama; tetapi Kaedah itu haruslah sistematik
KAEDAH GABUNGAN YANG DICADANGKAN
Kaedah gabungan untuk mengajar membaca bahasa Melayu kepada
murid-murid peringkat awal (prabacaan) yang dicadangkan di sini berasaskan
hal-hal berikut:
a) Sistem ejaan bahasa Melayu adalah mengikut abjad dan fonemik –
ertinya ada hubungan yang rapat di antara simbol/huruf dan bunyinya.
b) Suku kata perkataan-perkataan Melayu adalah jelas (jika
dibandingkan dengan bahasa-bahasa lain – dengan bahasa Inggeris misalnya).
c) Ciri-ciri yang baik daripada ‘kaedah fonik’ dan ‘kaedah pandang
dan sebut’ boleh digabungkan.
d) Murid-murid Melayu yang baru melangkah masuk ke Darjah 1
rata-rata telah pun mempunyai perbendaharaan bahasa Melayu yang mencukupi untuk
terus belajar membaca.
Kaedah yang dicadangkan ini menegaskan yang kita boleh menggabungkan
terus ‘kaedah fonik’ dan ‘kaedah pandang dan sebut’ dalam satu pelajaran
membaca, pada peringkat awal. Kita tidak perlu menunggu murid-murid mengetahui
semua nama huruf, bunyi huruf dan suku kata sebelum mereka disuruh membaca
perkataan-perkataan atau ayat. Malahan kita tidak begitu perlu memperkenalkan
dan mengajar abjad dan bunyi huruf dari a, b, c… sampai z secara tertib
biasa.
Kaedah gabungan ini mencadangkan biar murid-murid diperkenalkan
kepada bunyi beberapa huruf vokal dan konsonan, dan kemudian terus membunyikan
suku kata dan perkataan-perkataan yang bermakna, dalam satu dua pelajaran.
Dengan cara begini dalam dua, tiga pelajaran saja mereka akan terus dapat
membaca beberapa perkataan dan ayat, dan merasa bangga yang mereka boleh
membaca serta faham akan yang dibaca.
Untuk menjelaskan kaedah ini secara konkrit, terdapat beberapa
contoh:
a) Mulakan dengan perkenalkan bunyi dua atau tiga huruf vokal:
a o u dengan menggunakan kad imbasan (flash card). Buat latihan
membunyikan huruf ini beberapa kali, selang-seli.
b) Kemudian perkenalkan pula bunyi dua atau tiga huruf konsonan,
misalnya:
d k m dengan menggunakan kad imbasan, dan buat latih-tubi beberapa
kali supaya semua murid dapat melafazkan bunyi tiap-tiap lambang itu dengan
jelas.
c) Gabungan bunyi tiap-tiap huruf konsonan dengan huruf vokal
supaya menjadi suku kata:
da di du
ka ki k u
sa si su
Seterusnya bentukkan beberapa perkataan yang bermakna, misalnya:
ba ba baba
bu bu bubu
da da dada
ku ku kuku
Ulangkan ini beberapa kali, kemudian gabungkan dua perkataan
menjadi ayat dan latihan murid-murid membacanya:
baba bubu
dada kuku
d) Perkenalkan gabungan lain:
a ku aku
a da ada
i ni ini
i tu itu
bu ku buku
ba ba baba
bu ka buka
ba ju baju
Seluruh murid-murid membaca ayat-ayat berikut daripada beberapa
perkataan di atas:
aku ada buku
aku buka baju
ini buku aku
itu baju aku
Kemudian gantikan ‘aku’ dengan ‘baba’ dan ulang
membacanya.
Seterusnya baca ayat-ayat ini pula:
buku dia
buku baba
buku aku/ku
Gantikan ‘buku’ dgn ‘baju’, ‘baju’, dan ‘kuku’ dan
ulang bertubi-tubi dengan kad imbasan.
e) Perkenalkan gabungan bunyi lain pula seterusnya.
i bu ibu
bu di budi
u da uda
budi ibu
budi ibuku
budi uda
di a dia
ka ki kaki
kaki dia
kaki ibu
kaki kuda
Suruh murid membaca ayat-ayat yang menggunakan berbagai-bagai
perkataan yang dicipta:
ibu buku
baba uda bubu
udaku ada kuda
dia kaki kuda
buku uda
Begitulah beberapa contoh kaedah gabungan yang boleh diajar di
dalam tiga, empat hari, sejam sehari. Dalam seminggu sahaja murid-murid boleh
mengenal huruf-huruf a, e, i, o : b, d, k dan membaca suku kata,
perkataan-perkataan dan ayat yang dibentuk daripadanya.
Kesediaan Membaca
Kesediaan membaca bermaksud kemampuan seseorang untuk menerima
pengajaran dari segi mental, emosi dan fizikal. Secara luas, kesediaan membaca
melibatkan sebarang aktiviti sebelum sesuatu peringkat bacaan dimulakan, sama
ada di peringkat mendirikan asas, mengukuhkan asas mahupun peringkat-peringkat
lain yang lebih tinggi.
Secara khusus, iaitu untuk kanak-kanak yang belum didedahkan dengan
sebarang aktiviti bacaan, kesediaan membaca merangkumi kebolehan fizikal, emosi
dan mentalnya untuk menerima pengajaran bacaan asas. Dari segi fizikal
kemampuan kanak-kanak dapat dilihat dari sudut keupayaan alat-alat sebutannya
menghasilkan bunyi-bunyi yang akan diajarkan, keupayaan matanya mengecam
bentuk, dan keupayaan pendengarannya mengecam bunyi-bunyi.
Dari segi emosi, kemampuan kanak-kanak dapat dilihat dari segi
mintanya terhadap bahan-bahan bacaan (seperti bermain dengan bahan bacaan,
membelek-belek bahan bacaan, melihat bahan bacaan, dan berminat melihat orang
di sekitarnya membaca) dan minatnya untuk mendengar bacaan, khususnya yang
berupa cerita. Dari segi mental, kemampuan kanak-kanak dapat dilihat dari segi
keupayaannya mengingat apa-apa yang diberitahu dan kebolehannya menyatakan
semula apa-apa yang telah diketahuinya.
Dari segi umur, ada kanak-kanak bersedia membaca seawall umur
empat tahun dan ada pula kanak-kanak yang hanya bersedia membaca setelah
berumur enam tahun. Selain faktor fizikal, emosi dan mental, factor
persekitaran amat mempengaruhi kesediaan kanak-kanak membaca. Sebagai contoh,
kanak-kanak yang terdedah dengan pelbagai jenis bahan bacaan sejak lahir,
sentiasa melihat orang di sekeliling membaca dan ada pula orang yang membacakan
buku cerita untuknya akan lebih cepat bersedia membaca berbanding dengan
kanak-kanak sebaya yang tidak mendapat peluang yang sama.
Syed Abu Bakar (1994) menyatakan
bahawa peringkat kesediaan membaca sangat penting. Menurutnya, “Jika tahap ini
tidak dapat dicapai terlebih dahulu, usaha untuk mengajarkan kemahiran membaca
bukan sahaja sia-sia, malah boleh menimbulkan kesan yang amat buruk kepada
kanak-kanak, ibubapa dan guru.” Beliau berpendapat, konsep kesediaan membaca
ini samalah dengan keadaan semula jadi yang dialami oleh kanak-kanak dalam
perkembangan otot-otot tubuh mereka. Umpamanya sebelum mereka boleh berjalan,
mereka perlu meniarap, merangkak dan berdiri terlebih dahulu. Kebolehan
menggerakkan otot-otot tertentu mengikut urutan sebelum berjalan dapat dianggap
sebagai pecahan kemahiran berjalan. Keadaan yang sama berlaku untuk kemahiran
membaca, Cuma bentuknya berbeza. Berdasarkan pandangan Syed Abu Bakar ini dapat kita
rumusan perbandingan perkembangan kanak-kanak dengan peringkat-peringkat bacaan
seperti yang di bawah. Meniarap (aktiviti kesediaan membaca) merangkak (
aktiviti mendirikan kemahiran asas membaca) ,berdiri (aktiviti pengukuhan
kemahiran asas membaca ,berjalan ( mahir membaca peringkat rendah) , berlari (
mahir membaca peringkat tinggi)
Aktiviti Kesediaan Membaca
Syed Abu Bakar (1994) mengkategorikan
aktiviti kesediaan membaca kepada dua, iaitu peringkat prabacaan dan peringkat
bacaan. Peringkat prabacaan meliputi kemahiran pengamatan pendengaran,
kemahiran pengamatan penglihatan, aktiviti koordinasi psikomotor, latihan
menajamkan daya ingatan dan latihan bahasa pertuturan. Peringkat bacaan
meliputi kemahiran mengenal abjad hingga membaca ayat.
Menurut Ismail Zakaria, Salmah
Othman dan Elly Chong (1992) pula, tahap
prabacaan merupakan satu tempoh menyediakan murid untuk membaca. Dengan kata
lain, makna istilah tahap prabacaan dan kesediaan membaca adalah sama. Pada
tahap ini murid didedahkan kepada aktiviti-aktiviti yang mendorong mereka
mempertingkatkan ketajaman penglihatan dan pendengaran. Penekanan juga perlu
diberi kepada pengalaman yang membolehkan murid membentuk kelaziman membaca
dari kiri ke kanan dan dari atas ke bawah : Untuk mencapai tujuan ini,
aktiviti-aktiviti yang terdapat dalam Buku Sumber Bahasa Malaysia Tahun 1
(1983) dapat dimanfaatkan oleh para guru. Tiga kategori aktiviti disediakan,
iaitu pengamatan penglihatan, pengamatan pendengaran, dan pergerakan tangan dan
mata.
AKTIVITI PENGAMATAN PENGLIHATAN
- Aktiviti Pengamatan
Penglihatan 1
Menghimpun gambar benda
maujud yang sama jenis, warna dan saiz.
Bahan:
Pelbagai gambar kereta,
baju, lain-lain.
Aktiviti Murid:
Murid melaksanakan
gambar yang telah dicampuradukkan oleh guru. Aktiviti ini dilaksanakan secara
individu, kelas dan kumpulan.
- Aktiviti Pengamatan
Penglihatan 2
Menggunting dan menampal
berbagai-bagai gambar mengikut tajuk di papan kenyataan atau di buku skrap
kelas.
Bahan: Gambar benda
hidup, benda bukan hidup, benda yang boleh dimakan, benda yang tidak boleh
dimakan, pakaian, dan alat tulis-menulis.
Aktiviti Guru/Murid:
1. Guru berbincang
dengan murid tentang benda hidup dan benda bukan hidup.
2. Murid menyebut “benda
hidup” atau “benda bukan hidup” sebagai respons terhadap kad benda yang
diimbaskan oleh guru.
3. Guru member murid kad
gambar dan murid melekatkan kad itu di papan kenyataan mengikut tajuknya
seperti benda hidup, pakaian, alat tulis-menulis dan lain-lain.
4. Murid menggunting
gambar dan menampalkannya dalam buku skrap mengikut tajuk tertentu.
AKTIVITI PENGAMATAN PENDENGARAN
- Aktiviti Pengamatan
Pendengaran 1
Mengetuk benda satu
persatu untuk mendapatkan pelbagai bunyi dan mengecam perbezaan bunyinya.
Bahan: Paku, tin, batang
kayu, meja, tempurung, batu.
Aktiviti Guru/Murid:
1. Guru memperkenalkan
benda-benda yang menghasilkan bunyi seperti tin, paku, tempurung, batang kayu,
meja dan batu.
2. Guru mengetuk benda
itu satu persatu beberapa kali dan murid mendengarnya.
3. Guru mengetuk dua
benda yang berlainan. Murid menyatakan sama ada bunyi benda itu sama atau
tidak.
4. Murid menyanyi lagu
“Mari Bergembira” dengan meniru nyanyian daripada pita rakaman atau nyanyian
atau nyanyian guru sendiri.
- Aktiviti Pengamatan
Pendengaran 2
Mendengar rakaman dan
menyatakan bunyi-bunyi alam seperti bunyi air mengalir, air menitik, angin
kencang, angin menderu, petir, hujan lebat, dan ombak.
Bahan: Pita rakaman yang
mengandungi bunyi air mengalir, air menitik, angin kencang, angin menderu,
petir, hujan lebat, dan ombak. Beberapa gambar carta yang dapat disesuaikan
dengan bunyi-bunyi yang diperdengarkan.
Aktiviti Guru/Murid:
1. Guru memperdengarkan
bunyi-bunyi daripada pita rakaman.
2. Rakaman bunyi-bunyi
itu diperdengarkan sekali lagi dan murid menyatakan jenis bunyi itu.
3. Murid-murid lain
memilih gambar yang sesuai dengan bunyi yang dinyatakan.
AKTIVITI PERGERAKAN TANGAN DAN MATA
- Aktiviti pergerakan
Tangan dan Mata 1
Membentuk benda daripada
plastisin, tanah liat atau bubur kertas dan lain-lain.
Bahan: Plastisin, tanah
liat, dan bubur kertas.
Aktiviti Guru/Murid:
1. Buat satu
atau dua benda daripada bahan yang diberi sebagai contoh.
2. Berikan bahan
kepada murid dan minta mereka membentuk benda atau model yang disukainya.
3. Minta murid
menceritakan hasil kerja mereka.
- Aktiviti Pergerakan
Tangan dan Mata 2
Melakar bentuk yang
sesuai dari kiri ke kanan, dari kanan ke kiri dan dari atas ke bawah untuk
membolehkan membentuk huruf.
Bahan: Lembaran kerja,
benda maujud (dulang berpasir, model pokok, model tiang bendera, bola, manik,
cawan, air), kertas pendua yang mengandungi perjalanan atau arah yang dibuat
dengan garisan putus-putus.
Aktiviti Murid:
1. Menggolekkan bola di
atas dulang berpasir dengan jari dari kiri ke kanan dan sebagainya.
2. Murid memegang cawan
plastik yang penuh dengan air dengan tangan kanan dan menggerak-gerakkan tangan
kanan mereka ke kiri ke kanan dan sebaliknya. Teknik memegang cawan
dipelbagaikan.
3. Murid melakar garis
pada dulang pasir dari model pokok ke tiang bendera
No comments:
Post a Comment